ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI MOGA INPUT YANG KAMI SEDIAKAN MEMBERI PENGETAHUAN YANG LEBIH UNTUK ANDA SEMUA

Kenali Sabah

Bendera Sabah Negeri Dibawah Bayu

Jata Negeri sabah

Fakta mengenai Sabah

Negeri di Bawah Bayu, Sabah, adalah negeri kedua terbesar di Malaysia, yang terdiri daripada 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan. Dengan kawasan yang menjangkau 72,500 kilometer persegi, dipenuhi dengan pantai yang dikelilingi oleh Laut China Selatan di bahagian Barat, Laut Sulu di bahagian Timur Laut dan Laut Celebes di bahagian Timur, Sabah terletak di bahagian paling utara Borneo dan juga merupakan pulau ke-3 terbesar di dunia.

Rakyat dan Sejarah Sabah

Penduduk Sabah terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik. Kadazan-Dusun adalah kumpulan etnik yang terbesar di Sabah yang membentuk hampir 30% daripada keseluruhan jumlah penduduk. Pesta Menuai yang disambut pada 30 & 31 Mei setiap tahun adalah percutian yang amat diraikan oleh etnik Kadazan-Dusun bagi menghormati Roh Beras dan untuk bersyukur di atas tuaian yang banyak. Bajau, atau juga dikenali sebagai 'Koboi Timur', dan Murut, iaitu orang-orang bukit dan pemburu kepala pada masa lalu, adalah kumpulan etnik kedua dan ketiga terbesar di Sabah. Suku kaum lain-lain adalah termasuk suku kaum bumiputera seperti Bisaya, Melayu Brunei, Bugis, Kedayan, Lotud, Ludayeh, Rungus, Suluk, Minokok, Bonggi, Ida'an, dan banyak lagi. Di samping itu, orang Cina juga termasuk dalam kumpulan utama bagi penduduk bukan pribumi.
Sejarah Sabah boleh dikesan kembali kepada kira-kira 20,000 - 30, 000 tahun yang lalu dengan bukti-bukti yang mencadangkan bahawa manusia awal telah wujud. Syarikat Berpiagam Borneo Utara berfungsi memerintah Sabah (kemudian dikenali sebagai Borneo Utara) dari tahun 1881 sehingga 1942, apabila tentera Jepun menyerang Borneo Utara semasa Perang Dunia II. Akibat peperangan yang menghancurkan itu, Syarikat Berpiagam Borneo Utara tidak mempunyai sumber kewangan untuk membina semula negeri Sabah. Oleh sebab demikian, wilayah itu telah diletakkan di bawah kawalan pejabat kolonial dan menjadi tanah jajahan British pada 15 Julai 1946. Beberapa tahun selepas itu, Sabah mencapai pemerintahan sendiri dari British, dan telah bersatu dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.



REFLEKSI SABAH


2014180225
Sosiobudaya masyarakat di Sabah banyak dipengaruhi oleh keadaan di sekelilingnya. Pada kebiasaannya budaya hidup masyarakat ini dipengaruhi oleh ahli keluarga dan masyarakat yang akan membimbing golongan muda mengenai peraturan, adat resam, agama serta kepercayaan yang telah diwarisi mereka sejak turun-temurun. Apa yang saya terkesan dari temubual ini ialah dari cara didikan dan pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa etnik Bajau di Sabah. Masyarakat Bajau di Sabah menerima pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pendidikan tidak formal dipelajari oleh kanak-kanak melalui keluarga atau masyarakat yang bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan. Pada peringkat ini kanak-kanak telah diajar cara-cara seperti memancing, berburu, menyumpit, dan berternak. Pendidikan ini bermula dengan mengajar kanak-kanak mempelajari kemahiran ini bagi membolehkan mereka berdikari apabila dewasa kelak. Peringkat formal pula lebih kepada ilmu pengetahuan yang diajar di sekolah. Banyak perbezaan boleh dilihat dari segi pendidikan zaman dahulu dan juga sekarang. Pada zaman dahulu, pendidikan yang diberikan hanya bersifat satu aliran sahaja. Pendidikan agama tidak diberikan kerana kurangnya tekanan yang diberikan kepada agama dan tiada sekolah yang berasaskan agama. Kanak-kanak yang inginkan pendidikan agama haruslah pergi ke rumah guru-guru atau bersekolah di bandar. Namun sekarang dengan kemajuan teknologi dan modenisasi, pendidikan dan cara didikan juga telah mengalami banyak perubahan. Ibu bapa mula sedar tentang betapa pentingnya ilmu pengetahuan terutamanya tentang agama. Banyak sekolah agama telah dibina di Sabah. Ibu bapa juga mula mementingkan pendidikan dan menggalakkan anak-anak mereka untuk menimba ilmu. Mereka tidak menjadikan taraf hidup sebagai halangan untuk menimba ilmu. Semangat dan galakan yang diberikan ibu bapa telah menjadikan ramai anak muda mula menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sebagai contoh di Uitm sendiri, banyak kaum bumitera dari Sabah telah melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan Ijazah. Pendidikan juga banyak merubah taraf kehidupan masyarakat di Sabah. Keazaman saya untuk bertindak seterusnya ialah untuk menggalakkan semua anak muda untuk terus mencari ilmu kerana ilmu tu sangat penting dan mampu mengubah taraf hidup kita. Sebagai ibu bapa juga haruslah memberikan galakan kepada anak-anak untuk menimba ilmu dan sekaligus berjaya mendidik mereka dalam menyeimbangkan ilmu duniawi dan ukhrawi. 


2014734061
Pada tugasan kali ini, saya berpeluang untuk menemu ramah seorang anggota polis bernama Timothy yang berasal daripada Sabah, kaum kadazan-dusun. Saya berpeluang untuk mengenali kaum kadazan dusun dengan lebih dekat lagi melalui temubual ini. Banyak informasi baru mengenai kaum kadazan dusun ini yang saya pelajari. Menurut En. Timothy, bila sebut sahaja Sabah, semua orang akan membayangkan gunung kinabalu yang sememangnya menjadi daya tarikan bagi negeri sabah. Selain itu, kepelbagaian kaum dan etnik juga menjadi salah satu keunikan bagi negeri sabah itu sendiri dan En. Timothy sangat berbangga kerana dilahirkan dan dibesarkan di Sabah.
Mengenai perayaan yang disambut oleh kaum kadazan dusun, beliau berkata, kaum kadazan dusun menyambut pesta keamatan atau nama lainnya hari gawai. Ketika pesta ini berlangsung, orang kadazan-dusun tidak dibenarkan pergi ke sawah padi kerana bimbang padi tak jadi. Selain itu, etnik kadazan-dusun juga tidak dibenarkan ke sawah kerana takut menaikkan amarah semangat padi.  
Tambahan lagi, ketika ditanya mengenai adat perkahwinan enik kadazan dusun, beliau berkata perkahwinan sekarang sudah modern iatu kahwin di gereja. Namun jika diikut adat perkahwinan dahulu, pengantin lelaki akan datang kerumah pengantin perempuan dimana pengantin perempuan akan dipakaikan dengan pakaian tradisi (pakaian sumazau) dan akan dibawa pengantin lelaki untuk berarak. Tetapi, sebelum itu, pihak pengantin perempuan akan memanggil tok dukun untuk melakukan upacara bomboyan dimana tok dukun akan membaca ayat-ayat. Kemudian, pengantin perempuan akan dipakaikan dengan serong serong (lebih kurang macam tudung) di kepala untuk mengelakkan pengantin perempuan melihat jalan semasa pengantin lelaki mengiringinya.
Bagi upacara kematian pula, mereka akan menjemput tok dukun untuk melakukan upacara bomboyan (memberi makan kepada si mati) selama 7 hari. Dan jika ada kematian, isteri bagi si mati tidak dibenarkan untuk pijak tanah serta segala haiwan hendaklah dikurung dan kepala si mati mestilah ditutup.
Alat tradisional bagi etnik dusun adalah gong. Mereka mempunyai pelbagai jenis gong yang dimainkan ketika menyambut upacara tertentu. Sebelum mengakhiri temubual ini, saya sempat bertanya pendapat En. Timothy mengenai orang Islam dan agama Islam. Ini kerana, di negara luar, ramai diantara mereka beranggapan bahawa orang Islam ini adalah pengganas. Jawapan yang diberikan  beliau adalah “orang Islam sama sahaja baiknya dengan orang Kristian atau agama apa sekalipun. Masing-masing dapat bergaul dengan baik sesama mereka asalkan tidak terpesong daripada agama mereka sendiri. Asalkan orang islam tidak menindas agama lain, saya baik-baik sahaja. Saya tidak pernah beranggapan orang Islam itu jahat, ini kerana majority kawan saya di semenanjung adalah orang islam dan kawan saya tidak pernah memburukkan agama saya. Lagipun, agama Kristian tidak mengajar penganutnya untuk menghina agama lain.
Jadi, berdasarkan temubual ini, apa yang terkesan pada saya adalah apabila en. Timothy bercakap mengenai agama. Islam sendiri tidak mengajar penganutnya untuk memburukkan agama lain kerana kita manusia semuanya sama sahaja disisi Allah S.W.T. jadi saya berazam, mulai saat ini, saya tidak akan bersikap prejudis lagi terhadap agama lain kerana kadang-kala saya bersikap prejudis dalam menilai sesorang yang berlainan kaum dan agama.

2014767653
Tugasan kali ini memberikan kami peluang untuk mengenali negeri sabah. Kami perlu menemuramah salah seorang rakyat beretnik sabah untuk mengetahui lebih lanjut tentang negeri Sabah. Daripada temuramah itu saya mendapat banyak maklumat baru tentang negeri dibawah bayu ini. Sebelum mendapat tugasan ini saya kurang berminat untuk tahu tentang negeri negeri lain. Selepas melaksanakan tugasan ini terlampau banyak pengetahuan baru yang saya perolehi. Antaranya saya dapat mengenali budaya yang ada disabah seperti budaya semasa perkahwinan. Perkahwinan mereka sekarang tidaklah seperti dahulu. Perkahwinannya sama seperti kita disemenanjung tapi apa yang menarik minat saya bila salah seorang rakyat etnik sabah ini menceritakan tentang pantang larang semasa perkahwinan. Antara pantang larangnya ialah pengantin perempuan mestilah ditutup kepalanya dengan sarung. Sarung itu seperti kain tudung. Pada zaman ini rakyat etnik sabah masih mengambil berat tentang pantang larang yg ditentukan oleh nenek moyang mereka dahulu. Selain itu, apa yang menyentuh perasaan saya bila mendapat tahu penemuramah ini mempunyai ramai kawan yang berlainan bangsa dan etnik. Disebabkan telah menetap disemenanjung selama beberapa tahun, dia boleh membiasakan diri dengan cara hidup disemenanjung. Hidup sebagai seorang yang beretnik sabah tidak menghalang dia untuk menerima budaya lain tanpa hilang budaya sendiri. Hal ini mengambarkan dia boleh menerima sesiapa sahaja untuk menjadi kawan tanpa mengira bangsa etnik dan agama. Walaupun dia beretnik sabah itu tidak menghalang dia untuk bergaul dengan orang lain. Sikapnya yg tidak prejudis terhadap orang lain dan boleh menerima budaya lain tanpa hilang budaya sendiri patut dicontohi.

2014989725
Apa yang dapat kita lihat dalam komuniti orang Sabah ini sangat bersatu padu dalam kalangan mereka terutama komuniti Islam dan bukan Islam, kedamaian ini yang kita mahukan di Malaysia yang hidup dalam pelbagai kaum dan memahami antara satu sama lain dan bukannya saling bermusuhan dan bergaduh. Ini akan mempengaruhi generasi baru yang akan mentadbir negara satu hari nanti, kita perlu tunjukkan contoh yang baik kepada mereka supaya kita sesama kaum akan hidup saling harmoni. Selain itu, apa yang menarik ingin saya kongsi kan tentang adat kematian orang bajau pada satu ketika dahulu, semasa kematian, apabila seseorang itu meninggal dunia, doa akan dibaca dan mayatnya akan ditutup dengan kain. Pada masa itu, tawak-tawak patai atau pukulan gong akan dibunyikan sebagai tanda seseorang itu meninggal. Dan seperti biasa mayat itu akan di uruskan dengan cara Islam kerana majoriti kaum bajau adalah Islam. Semasa pengebumian, selepas di sembahyangkan si mati akan dikebumikan, adat naja-naja iaitu berjalan ulang-alik di bawah keranda si mati oleh keluarga. Apabila mayat ingin dikebumikan, ada beberapa biji buah pinang untuk mewakili anak cucu si mati yang masih kecil. Pinang itu di bungkus dalam sehelai kain putih yang sama dan diletakkan di sisi mayat. Tujuannya adalah supaya semangat mereka akan bersama si mati ke alam baqa. Biasanya dari hari pertama hingga tujuh belas selepas kematian, keluarga dan masyarakat setempat akan mengikuti beberapa pantang larang. Antaranya ialah dari hari pertama hingga hari ketujuh, rumah si mati tidak boleh di cuci. Bagi saya, adat kematian mereka sangat unik, dan mereka bersama-sama dalam masyarakat setempat terlibat walaupun sesama bukan Islam, jadi, kita sebagai manusia ini perlulah saling bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain walaupun berlainan agama, bangsa dan kaum.

2014964799
Apa yang terkesan kepada saya daripada temubual saya dengan orang Sabah ialah tentang perayaan mereka. Perayaan orang Kadazan ialah Pesta Kaamatan. Pesta Kaamatan ini disambut sebagai tanda kesyukuran kepada semangat padi iaitu Bobohizan selepas habis tuaian padi dan memperingati semangat pengorbanan Huminodun untuk menurunkan hujan. Pada ketika itu terdapat sebuah kampung yang sangat aman damai ia mempunyai tanaman padi dan buah-buahan yang sangat subur. Pada suatu hari, kemarau panjang melanda dan semua tanaman mati dan sungai menjadi kering. Kinorohingan dan isterinya Sumundu merupakan pemimpin kampung tersebut dan mempunyai seorang anak perempuan Huminodun. Melihat keadaan yang teruk, Kinorohingan memangil Bobolian untuk melihat keadaan kampung tersebut. Semasa dalam upacara, Bobolian memberitahu Kinorohingan, kemarau akan berakhir sekiranya tanah bumi di basahi dengan darah seseorang yang mempunyai cinta kasih yang sangat tinggi. Huminodun yang turut serta dalam upacara tersebut mendegar syarat yang diberi oleh Bobolian sanggup mengorbankan dirinya selepas membuat refleksi yang sangat mendalam. Kinorohingan dan Sumundu sangat sedih dengan permintaan Huminodun tetapi mereka tidak dapat menghalang kemahuannya. Hampir kesemua penduduk kampung juga tidak bersetuju dengan permintaan Huminodun dan memujuk Huminodun supaya membatalkan niatnya tetapi Huminodun tetap dengan keputusannya. Menjelang senja, Kinorohingan dan kesemua penduduk kampung membawa Huminodun ke satu tempat yang lapang. Sebelum memulakan upacara, Huminodun menyuruh bapanya Kinorohingan menyimpan tujuh tangkai padi dalam bakul tertutup dan tanam apabila hujan turun. Selepas itu Huminodun pun berlutut dan Kinorohingan pun menghunuskan pedangnya kepada Huminodun. Sebaik sahaja Himinodun rebah ke tanah dan darah mengakir keluar dari tubuhnya, hujan turun dengan lebatnya di sertai guruh yang kuat membasahi bumi. Mayat Huminodun dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kaum Kadazan Dusun dan salah satunya ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama ‘Bobohizan’.  Semenjak itu mereka merayakan upacara kesyukuran kepada semangat padi iaitu Bobohizan dan memperingati semangat Huminodun yang telah berkorban untuk mereka selepas habis musim menuai padi. Selain itu, semasa pesta ini disambut mereka juga akan minum air tapai. Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil ‘Sumbiling’ untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk menyedut air tapai yang diperbuat daripada ubi layu ataupun beras. Selain itu, mereka juga akan menggunakan gelas khas dinamakan ‘Singgarung’ yang diperbuat daripada buluh. Ketika perayaan ini disambut, semua kaum Kadazan harus minum air tapai ini dan jika ada mereka tidak minum seperti membelakangkan kaum mereka walaupun mereka beragama Islam. Air tapai ini seperti ‘wine rice’ dan ianya tidak halal untuk diminum bagi orang Islam. Jadi saya berazam, saya ingin lebih menghayati dan mempelajari tentang perayaan kaum Kadazan ini dan saya ingin merasai sendiri macam mana perayaan ini disambut. Selain itu, saya sepatutnya menghormati adat dan kepercayaan mereka walaupun ada sesetengahnya yang bertentangan dengan agama Islam. Mana yang patut saya jadikan tauladan akan saya terapkan dan amalkan dalam kehidupan harian saya seperti sifat bersatu padu kaum ini dan hormat menghormati antara satu sama lain walaupun mereka berbeza agama. Di samping itu, mana yang tidak baik dan tidak patut saya ikuti akan saya jadikan sempadan dan jadikan pengajaran kepada saya. 

2014337541

Selepas selesai sesi temubual bersama beberapa orang etnik dari Sabah, apa yang membuat saya tertarik terhadap kehidupan mereka ialah kebanyakan daripada mereka mempunyai ahli keluarga yang berlainan agama dan juga berlainan etnik hasil daripada proses amalgamasi iaitu perkahwinan campur. Contohnya seperti Cina dan Brunei, islam dan cina dan sebagainya . Sungguhpun begitu, mereka masih hidup dalam keaadaan yang harmoni dan bahagia tiada sebarang persengketaan yang berlaku antara mereka mengenai isu perkauman atau agama. Begitu juga penerimaan yang begitu baik dari orang sekeliling yang saling hormat menghormati dan bersikap terbuka. Sebagai contoh, apabila mereka meraikan sesuatu perayaan seperti Chinese New Year, tiada masalah kepada ahli keluarga yang beragama islam untuk menyambutnya sekali kerana mereka akan menyediakan makanan khas atau makanan tersebut diasingkan untuk yang beragama islam makan tanpa ragu-ragu.
Alhamdulillah, apa yang dapat saya pelajari disini adalah kita perlu saling hormat menghormati sesama kita walaupun kita daripada berlainan agama. Mempunyai agama yang berlainan bukanlah satu masalah yang besar kepada kita jika kita bersikap tebuka dan ingin memahami agama yang lain. Untuk mengekalkan keharmonian negara ,tidak seharusnya kita mempunyai sikap prejudis terhadap agama lain dan saling terima antara satu sama lain. Disebabkan oleh kepelbagaian agama dan etnik di negara kita inilah yang menyebabkan negara kita menjadi unik pada pandangan pihak luar.Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia seharusnya kita menjaga identiti kita itu selagi kita masih hidup.Islam juga tidak mengahalang penganutnya daripada bergaul dengan agama lain bahkan dalam surah Al-Hujurat Allah menyuruh kita untuk saling kenal mengenal sesama manusia tanpa mengira agama. Bagi yang beragama Islam, perlulah kita menjaga adab-adab pergaulan dalam masa yang sama tidak menyiggung perasaan orang lain.


*Untuk Maklumat lanjut Klik Sini


No comments:

Post a Comment